Pengetua rasis: Lim kemuka usul di Dewan Rakyat

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menghantar satu usul kepada speaker Dewan Rakyat untuk membahaskan kes dua guru besar didakwa menghamburkan kata-kata perkauman dan berbentuk penghinaan kepada pelajar-pelajar mereka pada Ogos lalu.

Lim berkata usul berkenaan terpaksa dikemukakan kerana selepas 57 hari berlalu, kerajaan gagal bertindak.

“Ini satu tamparan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat gesaan antarabangsa berhubung keganasan, toleransi sifar terhadap perkauman dan polisi 1Malaysia,” kata Lim.

Usul berkenaan, kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dibuat menurut peraturan mesyuarat 18(1) dan dihantar kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Dewan ditangguhkan bagi membolehkan perkara itu dibahaskan.

Berikut kandungan usul berkenaan:

“Bahawa Dewan mengizinkan YB Lim Kit Siang, ahli parlimen Ipoh Timor untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan, iaitu dua orang guru besar dari Kulai, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang melafazkan kata-kata racis dan menghina terhadap pelajar-pelajar mereka di sekolah dalam bulan Ogos tahun ini, sehingga kini tidak dikutuk atau diambil tindakan displin sekeras-kerasnya oleh pihak yang berkenaan selaras dengan semangat 1Malaysia.

“Dua bulan selepas guru-guru besar dari Kulai dan Bukit Selambau berkenaan – yang antara lain, melabelkan pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah mereka sebagai ‘pendatang’, menggesa pejalar-pelajar kaum Cina supaya ‘balik Cina’, serta membandingkan benang sembahyang yang dipakai oleh pelajar beragama Hindu sebagai pengikat anjing – menunjukkan sikap rasis tidak sejajar dengan jawatan mereka sebagai pendidik yang berkredibel, timbalan perdana menteri serta menteri pelajaran masih berkeras bahawa beliau tidak berdaya mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya mengizinkan kedua-dua guru besar yang berkenaan meneruskan tugas mereka seperti sediakala.

“Di samping itu, ketua pengarah kementerian pendidikan yang mengeluarkan pekeliling kepada semua guru-guru besar dan guru-guru dalam bulan Ogos untuk memberikan amaran bahawa ‘tindakan akan dikenakan ke atas mereka yang mengeluarkan kata-kata rasis di sekolah’, tidak pula mengenakan tindakan displin ke atas kedua-dua guru besar yang berkenaan sehingga kini, menunjukkan tidak wujud iltizam politik atau falsafah pentadbiran yang betul dalam negara ini untuk membanteras ketaasuban perkauman.

“Semua ini merupakan sindiran langsung terhadap tema hari kebangsaan tahun ini iaitu ‘1 Malaysia Menjana Transformasi’ serta membelakangkan perisytiharan ‘toleransi sifar terhadap rasisma’ Perdana Menteri sendiri.

“Pada masa apabila Perdana Menteri cuba mengamalkan dasar ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Didahulukan’, seluruh pasukan pentadbiran beliau nampaknya tidak serius langsung terhadap dasar berkenaan, malah lebih cenderung untuk mendahulukan budaya rasis Biro Tata Negara – atau lebih tepat sekali, Biro Tentang Negara yang meracuni generasi muda dan para pendidik kita selama ini dengan mesej rasis yang songsang dan lebih
merupakan ‘Trojan Horse’ dalam usaha kita mencapai perpaduan negara.

“Perdana Menteri yang baru pulang dari Mesyuarat Asia-Eropah Kelapan di Brussels telah membangkitkan sekali lagi gesaan beliau di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini supaya diujudkan pergerakan sederhana global semua agama yang memainkan peranan penting di dunia yang kini menghadapi ancaman melampau. Gesaan ini sesuai sekali diulangi di negara kita sendiri yang kini semakin terancam oleh anasir-anasir ketaasuban rasis dan pelampau agama yang mengancam ketenteraman negara serta menggoncang semangat majmuk yang merupakan batu asas Malaysia.”

Dewan Rakyat akan memulakan persidangan kali ketiga bagi penggal ini pada Isnin, 11 Oktober ini.

About Fly Angel's

Politician
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s