TPM: BN sedia timbang Ku Li calon Galas

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbang sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Katanya, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

“Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil BN bagi kerusi untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan,” katanya.

Muhyiddin memberitahu pemberita demikian di Putrajaya hari ini ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian yang Tengku Razaleigh diletak sebagai calon BN kerana beliau mampu merampas semula kerusi tersebut daripada PAS.

Mengenai dakwaan PAS kononnya pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya BN bagi kerusi Galas memberi kelebihan kepada PAS kerana beliau turut menyokong tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata, PAS sebenarnya sedang “gundah-gulana”.

“Dia (PAS) kata beri kelebihan pada dia sebab isu royalti sebenarnya mereka gundah-gulana dengan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh sebagai pemimpin parti yang cukup berpengalaman, sudah sebati dan sinonim dengan Gua Musang.

“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Melayu, Cina dan India kerana sudah biasa mengenalinya secara peribadi, soal isu royalti kita boleh jelaskan lebih-lebih lagi Tengku Razaleigh pastiya bukan sahaja faham tapi pakar dalam soal itu,” katanya.

Muhyiddin berkata sebenarnya PAS sangat tertekan selepas mengetahui Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat yang dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, daripada Pas di Kuala Lumpur pada Isnin lepas akibat barah usus.

Dalam pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang daripada BN dengan majoriti 646 undi.

Selain Galas, dua lagi DUN yang terletak dalam Parlimen Gua Musang ialah Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN akan meletakkan calon yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Mengenai cadangan pembangkang supaya BN tidak meletak calon di Galas, Najib berkata: “Sukar bagi kita tidak bertanding. Mengikut amalan demokrasi, sesuatu kerusi bila kosong atas sebab kematian perlu diadakan pilihan raya kecil,” katanya.

“Sekali saja kita tidak buat kerana bila sengaja dikosongkan kita rasa membazir dari segi kewangan,” katanya merujuk kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Bercakap kepada media selepas melawat pameran pertandingan reka bentuk hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi kawasan Galas terdapat keperluan untuk menggantikan wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

“Jika kita tidak bertanding maka rakyat di Galas tiada pilihan. Bila bertanding sekurang-kurangnya mereka ada pilihan sama ada mereka mahu BN atau PAS. Jadi itu amalan demokrasi yang sihat di negara kita.”

Ditanya tentang pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil itu dan tidak sebagai calon, Najib berkata, “Saya gembira bahawa beliau sedia dan beliau komited untuk bekerja keras bagi memastikan BN menang.”

“Kita tidak mahu cakap mengenai calon pada peringkat ini. Saya masih tunggu senarai bakal calon. Saya tidak mahu ramal siapa bakal tetapi kita mahu letak calon yang paling sesuai,” kata Najib.

Mengenai momentum yang dicipta parti pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, Najib berkata, “Itu urusan mereka wujudkan ini dan adalah menjadi urusan kita untuk wujudkan momentum tersebut bagi pihak kita kerana kadangkala mereka wujudkan momentum yang palsu.”

“Seperti yang anda tahu dua tahun lepas, mereka kata mereka akan tawan Putrajaya dan ia tidak berlaku. Kegagalan 16 September sama sekali di pihak mereka. Malah jangan lupa mereka boleh wujudkan semangat palsu bahawa perkara (pilihan raya) bergerak ke arah mereka (berpihak kepada pembangkang).”

“Tetapi apa pun, adalah penting untuk BN bekerja keras dan dapatkan keyakinan rakyat,” kata Perdana Menteri.

About Fly Angel's

Politician
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s